Monday, June 18, 2012

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Bagi Tingkatan 1

PBS..PBS... sekarang ini pelajar-pelajar tingkatan 1 khususnya sedang sibuk menyiapkan PBS. Apa itu PBS?

PBS adalah singkatan bagi Pentaksiran Berasaskan Sekolah.PBS yang dilaksanakan adalah sesuatu yang patut dimurnikan oleh semua guru kerana ianya memberi penilaian lebih terhadap murid.  PBS dilihat sebagai satu usaha oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberi penambahbaikan terhadap pencapaian murid di dalam peperiksaan utama, khususnya UPSR dan PMR.

PBS dilihat sebagai satu langkah penting bagi menentukan penguasaan murid secara lebih bersistematik pada setiap peringkat pengajaran dan pembelajaran.  PBS merujuk kepada pentaksiran yang bersifat holistik yang merangkumi nilai intelek, emosi dan rohani serta jasmani selaras dengan FPK dan KSSR.  Ini kerana PBS mencakupi dan mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

Guru diberi kuasa autonomi untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan ketika proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) yang berasaskan sekolah.  Pentaksiran Sekolah menjadi satu elemen utama dalam proses P&P kerana ia dilihat berfungsi mengukuhkan pembelajaran murid serta meningkatkan pengajaran guru serta berupaya memberi maklumat yang sah mengenai apa sahaja pencapaian dan pelaksanaan dalam setiap proses P&P.

PBS mengandungi empat komponen, dua komponen bersifat akademik iaitu Pentaksiran Sekolah dan Pentaksiran Pusat. Dua komponen bersifat bukan akademik iaitu Pentaksiran Psikometrik (sikap dan personaliti pelajar) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Semoga proses penambahbaikan oleh KPM ini dapat melahirkan insan yang lebih cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi merangkumi bukan akademik dan yang penting mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan mithali.

No comments:

Post a Comment